Monday, 4 April 2011

PRESTASI PR UNTUK PRU13

Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 dijangka diadakan dalam tempoh terdekat, bergantung keputusan pilihanraya negeri Sarawak April ini. Jika memihak BN, berkemungkinan PRU13 berlangsung selepas itu, paling lewat akhir 2011.

Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang menangguhkan Mesyuarat Agungnya bagi pemilihan selama 18 bulan memberi petunjuk jelas bahawa Umno-BN sedang mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi PRU13. PM Najib amat arif tentang persaingan sengit yang bakal dihadapinya dalam pemilihan partinya itu.

Jika tidak kena percaturannya boleh membawa padah kepada kelangsungan hayat politiknya. Apa tidaknya sistem pemilihan yang memberi kuasa buat julung kalinya kepada ahli di semua peringkat menentukan kepimpinan tentulah sudah menjangka akan masalah yang akan timbul yang mungkin lebih parah dari apa yang dihadapi Parti KeAdilan Rakyat (PKR) baru-baru ini. PM Najib lebih mengenali perangai saingannya, ahli dan penyokong partinya yang brutel itu.

Jadi, mahu tidak mahu pemilihan kali ini mesti ditangguhkan bagi memberi laluan kepada PRU13 yang lebih getir yang bakal menentukan sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) yang akan ke Putrajaya. Ingatkah kita tentang sumpah Najib untuk mempertahankan Putarajaya di Persidangan Agung partinya, biar bercerai nyawa dari badan! Mesejnya ialah BN mahu menang dengan apa cara sekalipun.

PM Najib sebenar dalam dilema tentang bila sebenarnya PRU13 patut diadakan sedangkan sebenarnya hak untuk membubarkan Parlimen yang kemudiannya diikuti DUN bukan haknya tetapi dalam negara Malaysia serba boleh ini itulah hakikatnya di mana parti pemerintah mempunyai kuasa!

Jika PM Najib dilema dalam menentukan tarikh PRU13, di pihak PR keadaannya tidaklah lebih selesa daripada apa yang dihadapi Umno-BN. Dalam keadaan setiap hari diserang media dan jentera kerajaan yang ditunggangi Umno-BN, PR perlulah lebih peka melakukan sesuatu yang lebih bagi memastikan 5 negeri yang dimenangi dalam PRU12 lalu dikekalkan di samping terus menghayun langkah ke Putrajaya bagi mengambilalih tampuk pemerintahan negara daripada BN.
Siapa yang tidak setuju bahawa terlalu banyak kebobrokan berlaku; baik politik, ekonomi mahupun sosial di mana hampir semua sistem dirosakkan. Instrumen-instrumen penting Kerajaan seperti SPR, SPRM, PDRM, Kehakiman dan agensi-agensi lain ditunggang semahunya bagi kepentingan parti pemerintah. Tahap rasuah, salah-guna kuasa, penyelewengan adalah terlampau. Saban hari kekayaan negara dibolot mereka yang rapat dengan pusat kuasa.

Dengan sistem kehakiman yang tempang, apalah yang boleh diharapkan oleh rakyat terbanyak. Apa tidaknya, sehingga Statutory Declaration (SD) dipermainkan! Ingat lagi, Penyiasat Persendirian Bala, terbaru pembantu-pembantu Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pendedahan SAC II Dato’ Mat Zain Ibrahim, Ketua Penyiasat Mata Lebam Dato’ Seri Anwar Ibrahim, betapa jijik peranan AG Gani Patail dan Musa Hassan bukan rahsia lagi! Apa jadi dengan pembongkaran penyelewengan pembelian kapal selam Scorpene, jet pejuang Sukoi, kes pembunuhan Altantuya sekadar menyebut beberapa contoh. Dengan pendakwaan kes liwat siri ke-2 Dato’ Seri Anwar yang sedang berjalan, rakyat benar-benar mengharapkan sebuah kerajaan yang “credible” lagi “accountable” untuk menggantikan BN.

Dalam senario ini, PRlah pilihan mereka. Apakah PR mampu dan benar-benar sudah bersedia? Satu persoalan yang bukan mudah untuk dijawab berasaskan senario semasa yang tidak berapa memihak kepada kita. Kemelut dalaman PR terutama PKR dan contengan hodoh terhadap Ketua Umum PKR oleh media perdana yang dikuasai Umno-BN selain DAP dan PAS yang juga ada kocakan serta mainan isu ketuanan Melayu bukan mudah untuk kita memberi gambaran sebenar tentang keupayaan PR kepada rakyat.

Persepsi negatif yang dicontengkan kepada kerabat PR sedikit sebanyak telah mencacatkan kita di mata rakyat terbanyak terutama bagi mereka yang menjadikan media perdana baik cetak mahupun elektronik sebagai rujukan. Dalam situasi begini, elok rasanya jangan kita meletakkan ketempangan persepsi tersebut hanya kepada pihak lain khususnya Umno-BN yang sememangnya tidak pernah bersimpati kepada kita. Kemampuan PR mengurus persepsi itulah yang penting.

Secara ikhlas, PR haruslah juga melakukan muhasabah diri dengan memperbaiki prestasi bagi menjamin kemenangan dalam PRU13 nanti. Jika tidak jangan mimpi untuk ke Putrajaya kerana Umno-BN tidak akan memberi laluan mudah. Keupayaan Kerajaan negeri-negeri yang diterajui PR selama 3 tahun dalam mengurus sumber negeri, menyelesaikan masalah rakyat, kecekapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di peringkat daerah-mukim, ketelusan tadbir-urus Kerajaan negeri membabitkan barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sedang diperhatikan rakyat. Fikirkanlah mekanisma terbaik bagaimana maklumat tentang keupayaan dan pencapaian PR ini boleh sampai ke kelompok sasar.

Beberapa pemerhatian berikut mungkin boleh dijadikan petunjuk untuk kita menilai prestasi ADUN dan Ahli Parlimen (AP) PR sama ada mereka benar-benar mampu memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus menyokong PR dalam PRU13 dan seterusnya mentadbir negara menggantikan BN. Peranan ADUN dan AP serta Pusat-Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) mereka mestilah cekap supaya sentiasa diyakini mampu menyelesaikan masalah rakyat kerana selepas PRU12 lalu, rakyat nampaknya telah semakin bijak dan sangat “demanding”. Mahu tidak mahu ADUN dan AP PR perlulah bekerja lebih kuat.

Selain PKM PR, prestasi PBT yang merupakan kerajaan peringkat ketiga sedang diperhatikan, sangat penting dan perlu diberi perhatian serius. Janganlah ada elemen menekan golongan yang memerlukan perhatian dan pembelaan baik peniaga mahupun rakyat marhain. Jangan tambah sulitkan masalah rakyat kerana jika PBT tidak cekap dan dilihat berkepentingan, rakyat akan kecewa dan berkemungkinan tidak lagi memberikan undi kepada calon-calon PR dalam PRU13 nanti kerana rakyat tahu PBT mewakili PR melalui ahli-ahli majlis yang dilantik.

Untuk memastikan siapa yang akan berkuasa di Putrajaya, kedua-dua pihak BN dan PR haruslah membuktikan yang mereka benar-benar mampu dan akan terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dengan cekap, telus, tanpa rasuah, salah guna kuasa, mesra rakyat dan senantiasa mendahulukan kepentingan rakyat. Walaupun dari sudut ini PR punya kelebihan tapi ia bukan jaminan. Perkhidmatan yang diberikan haruslah tidak lagi berpaksikan kelompok, kenalan serta rakan-taulan. Di sinilah kekuatan PR kerana jika falsafah kerajaan rakyat yang digagaskan itu dapat dirasakan kewujudannya, maka tidak syak lagi rakyat akan bersama memberikan sokongan.


Terjemahkan falsafah tersebut dalam pengertian sebenarnya. Jika ini mampu dilakukan, yakinlah rakyat akan memberikan undi mereka kepada PR untuk berada di Putrajaya selepas PRU13 nanti. Dalam keadaan peluang BN dan PR seimbang, 50:50 mengikut tinjauan Merdeka Centre, ditambah watak PM Najib yang dilihat mesra rakyat, sesungguhnya tugas PR sangat mencabar.

Untuk tujuan muhasabah, berikut adalah pengamatan penulis tentang prestasi PR secara umum khusus di Selangor. Pengalaman beberapa sahabat dan jiran berurusan dengan PKM salah sebuah ADUN Selangor untuk mendapatkan borang permohonan bagi membolehkan anak mereka yang ditawarkan ke IPTA mendapat bantuan RM1000 Kerajaan negeri dan usaha mendapatkan sokongan ADUN bagi borang persekolahan anak, agak mengecewakan. Antara komen diluahkan mereka “tak mesra pelanggan, tiada sistem bekerja, tiada keutamaan, menyulitkan, YB tidak fokus” amat menyedihkan. Insiden dipaparkan ini mungkin remeh tapi ingatlah yang remeh inilah yang boleh menjejaskan peluang PR dalam PRU13 kelak.

Elakkan membuat kenyataan bodoh dan merugikan sepertimana dilakukan ADUN Lembah Jaya, Sdr Khasim Aziz di satu dialog dengan sebuah Persatuan Penduduk di Ampang, Selangor awal Disember lalu yang menegaskan beliau tidak akan masuk ke restoran dan tempat-tempat panas bukan Islam menemui rakyat. Mentaliti YB wakil rakyat seperti ini menjadi liabiliti kepada PR dan sepatutnya tidak lagi dipilih dalam PRU13 nanti.

Insiden perobohan ruang niaga melibatkan 14 peniaga kecil Melayu dan India di Taman Muda, Ampang dalam kawasan DUN Teratai 17 Februari 2011 lalu dan isu Tanah Wakaf Islam Batu 3, Shah Alam sesuatu yang dikesalkan. Dalam kes Taman Muda, di mana peranan wakil-wakil rakyat Lembah Jaya dan Pandan dari PAS yang mewakili PR. Kedua mereka gagal membantu. Cara Sdr Iskandar Samad selaku Exco Kerajaan negeri menangani masalah peniaga kecil Taman Muda mengecewakan, itulah antara luahkan kata mereka yang ditemui. Apa maknanya Pakatan sekiranya ADUN Teratai Jenice Lee gagal diajak berunding membantu kelompok marhain ini sedangkan Pesuruhjaya PAS Selangor mahukan PAS berperanan sebagai “Big Brother” di Selangor!

Begitu jugalah isu Tanah Wakaf di Batu 3, di mana peranan wakil-wakil rakyat PR kita daripada PAS dan KeAdilan seperti Ruziah Ismail, Khalid Samad malah Exco Kanan Kerajaan yang menjaga portfolio Agama dan Adat-Istiadat Melayu Dato’ Dr. Hassan Md. Ali? Jika masalah-masalah sebegini tidak mampu kita selesaikan secara tuntas, rakyat ada alasan untuk sangsi terhadap keupayaan PR. Cakap-cakap mereka yang ditemui “jika begini wakil rakyat PR menguruskan masalah rakyat, Umno lebih baik” adalah sesuatu yang dikesalkan. Apa yang memeranjatkan saya lagi ialah apabila diberitahu salah seorang penduduk bahawa wakil rakyat Lembah Jaya langsung tidak menjengok mangsa-mangsa kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dan 3 buah kenderaan di Taman Tasik Tambahan Ampang tahu lalu, sekalipun sudah diberitahu!

Bercakap tentang masjid dan surau yang mahu dijadikan Dato’ Dr. Hassan Ali, sebagai wahana transformasi ummah tanpa menafikan bertambahnya program ilmu, inpaknya tidak seberapa. Transformasi bukan hanya dengan semata-mata banyaknya kuliah pengajian dan meriahnya Ramadhan tapi banyak lagi aspek lain yang perlu diberi perhatian! Program-program remaja, keibubapaan dan kemasyarakatan bagaimana? Secara ikhlas tanyalah mana-mana masjid berapa banyak program seumpamanya dijalankan sepanjang tahun 2010 ini. Berbanding kuliah pengajian, ia terlalu sedikit sedangkan kelompok remaja inilah yang paling kritikal serta perlu diberi perhatian.

Jawablah secara jujur, bagi setiap solat fardhu berapa saf jemaah bersolat di masjid? Jika dahulu 1½ saf bagi sebuah masjid jame’, sekarangpun tidak banyak bezanya. Jika ini ukurannya, maknanya pentadbir masjid gagal. Sepatutnya dengan banyaknya program ilmu semakin ramai anak-anak kariah ke masjid! Ini tentu ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin pendekatan perlu diperbaiki.

Sikap beberapa orang Nazir dan AJK masjid yang tidak mesra jemaah juga menjadi masalah, selain muslimat kurang berhikmah dalam tindakan yang seolah-oleh membalas dendam. Jika masjid boleh menjadi penyatu kepada kepelbagaian yang terdapat di kalangan anak-anak kariah kenapa tidak kita gunakan sebaiknya supaya institusi ini juga mampu menyumbang bagi memenangkan PR dalam PRU13. Rata-rata mereka yang menerajui masjid terdiri daripada orang-orang dari parti kerabat PR, sikap mereka ini nampaknya sangat memudaratkan dan perlu diperbaiki. Portfolio Exco bertanggungjawab haruslah peka dan jangan syok sendiri.

Sempena Maal Hijrah ini, ambillah pendekatan junjungan Nabi besar kita Muhammad saw yang sebaik tiba di Madinah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Pujuklah saudara kita yang berlainan fahaman politik untuk sama-sama rukuk dan sujud di rumah Allah yang mana kita diamanahkan sebagai pentadbirnya itu! Raikanlah perbezaan dan kepelbagaian yang fitrah sifatnya itu. Yakinlah, jika ia dilakukan dengan ikhlas dan penuh kasih sayang, insyaAllah mereka akan terbuka hati untuk bersama kita. Sebagaimana yang selalu diungkapkan TG Datuk Nik Aziz Nik Mat sesungguhnya kita semua bersaudara.

Masih ingat lagikah kita, apa yang terjadi dalam PRK Hulu Selangor dulu, di mana DUN yang pernah ditandingi calon parti kerabat PR tidak mendapat tambahan undi, sedangkan kita menguasai negeri, masjid dan surau malah ada infrastruktur. Kelebihan gagal dimanafaatkan, kenapa? Tentulah pendekatan kita kurang bijak. Kuliahnya mungkin berapi-api, kadang-kadang berjela, tidak fokus, terlalu retorik akhirnya jemaah bosan. Gagal memberi kesedaran dan bila tiba PRK Hulu Selangor undi mereka tetap kepada Kamalanathan.

Isu-isu nasional seperti ISA dan akta-akta draconian lain, ketempangan demokrasi dan semangat Federalisme dan lain-lain haruslah terus diasak supaya rakyat sentiasa diingatkan tentang kepincangan dan kezaliman Kerajaan BN. Usahlah dilayan polemik ketuanan Melayu, calon TPM dan barisan kabinet PR yang sengaja dibangkitkan Umno-BN kerana ia akan hanya memerangkap.     

Dari pengamatan yang mungkin dianggap remeh di atas, marilah kita sama-sama memperbaiki kelemahan. Sesungguhnya, jika jangkaan PRU13 tahun ini tepat maka kita sebenarnya kesuntukan masa. Apa tidaknya, beberapa bulan berbaki ini sangat singkat! Strategis Umno-BN sangat pandai memanipulasi keadaan dan sebarang kesilapan boleh mengundang petaka kepada PR. Umno-BN sebenarnya sangat terdesak, apakah kita tidak? Jika kita gagal kali ini, mungkin kita tidak akan ada peluang sebaik ini lagi untuk melakukannya. Rakyat berharap, jangan dihampakan!

Ditulis pada:
3 April 2011.

No comments:

Post a Comment