Tuesday, 12 April 2011

Isu Sabitan Zina: Memahami Peruntukan Perundangan Islam (Untuk Renungan dan Peringatan Bersama)

Sekarang ini heboh di sana sini tentang video seks seseorang yang dikatakan mirip ketua pembangkang, DS Anwar Ibrahim. Semenjak isu meletup, budak sekolah yang sebelum ini tak tahu apa itu zina dah mulai tahu, bertanya kepada ibu bapa mereka, atau mereka akan ‘search’ dalam internet maksud perkataan zina.
Maka keluarlah tafsiran zina sebagai persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan tanpa nikah yang sah mengikut hukum Syarak, bukan pasangan suami isteri, pelaku kedua-duanya orang yang mukallaf, dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam takrif persetubuhan yang meragukan (wati’ syubhah).
Bertanyalah pula kanak-kanak ini, apa pula maksud persetubuhan? Lalu tahulah mereka bahawa persetubuhan itu ialah hubungan seks antara seorang lelaki dan seorang perempuan. Sebelum ini, mereka dengar tentang liwat. Kali ini zina pula. Wah, makin bertambahlah ‘vocabulary’ anak-anak kita dengan istilah-istilah seks ini.
Zina adalah suatu perbuatan yang dilarang keras oleh Islam, maka hukumannya juga adalah teramat keras dan mandatori. Jika seorang penzina muhson, yakni seseorang yang telah baligh, berakal, merdeka dan telah pernah berkahwin, apabila disabitkan melakukan perzinaan wajib dikenakan hukuman hudd (rejam) iaitu dibaling dengan batu yang sederhana besarnya hingga mati. Bagi penzina ghair muhson, yakni seseorang penzina yang tidak cukup syarat-syarat dinyatakan diatas,hendaklah disebat sebanyak 100 kali sebatan, dan setengah ulama’ menambah dengan hukuman buang negeri selama setahun.
Hukuman kepada pelaku zina disebut dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur ayat 2 yang bermaksud : “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya 100 kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat, dan
hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”.
Kerana ia adalah suatu kesalahan yang berat, hukumannya juga berat,maka sebab itulah ulama’ mensyaratkan zina hanya boleh disabitkan samada dengan ikrar atau pengakuan si pelaku atau dengan keterangan empat orang saksi yang cukup syarat-syaratnya.
Sejarah Islam mencatatkan bahawa kebanyakan sabitan zina di zaman Rasulullah s.a.w adalah melalui pengakuan salah. Dalam hadith riwayat Abu Hurairah r.a, bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w di dalam masjid dan mengaku telah melakukakan zina. Baginda berpaling ke arah lain seperti tidak melayan atau menerima pengakuannya, sehingga lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah itu barulah Baginda bertanya, ‘adakah engkau gila?’ Dia menjawab ‘tidak’. Rasulullah s.a.w bertanya lagi, ‘adakah engkau telah berkahwin?’ Dia menjawab ‘ya’. Lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan para sahabat membawa lelaki tersebut untuk direjam.
Dalam suatu riwayat dari Sulaiman bin Buraidah, bahawa seorang wanita dari qabilah al-Ghamidiyah datang berjumpa Rasulullah dan mengaku sebanyak 4 kali bahawa dia telah mengandung hasil perbuatan zina.Baginda tidak terus menghukum wanita mengandung itu, tetapi meminta wanita itu pulang terlebih dahulu, melahirkan dan menyusukan anak tersebut, sehingga tamat tempoh susuan, barulah beliau diperintahkan untuk direjam. Kalaulah ditakdirkan selepas melahirkan anak, wanita ini menarik balik pengakuannya berzina, maka nescaya Baginda s.a.w akan menarik balik hukuman terhadap wanita tersebut. Ini yang dilakukan oleh Baginda s.a.w di mana Rasulullah s.a.w diriwayatkan telah menegur sahabat baginda dengan keras apabila mereka meneruskan hukuman terhadap Ma’iz bin Malik yang telah melarikan diri ketika hukuman dijalankan.
Berdasarkan dalil dan riwayat dia atas, maka rakaman video semata-mata bukanlah bukti yang kukuh untuk mensabitkan zina. Rakaman video adalah bukti yang lemah, dan dalam Islam disebut sebagai bayyinah (keterangan) atau qarinah (tanda). Ulama’ Syafie dan Hanafi hanya menerima pensabitan zina melalui iqrar (pengakuan) dan syahadah (kesaksian) 4 orang saksi lelaki, adil dan merdeka sahaja, dan menolak bukti bayyinah atau qarinah.
Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar dalam sebuah akhbar tempatan bahawa rakaman video aksi seks boleh digunakan sebagai bahan bukti untuk mensabitkan pelaku terbabit atas kesalahan zina di Mahkamah Syariah. Ulama’ Islam jelas telah membahaskan bahawa jenayah zina hanya boleh dibuktikan dengan dua perkara sahaja iaitu pengakuan orang yang berzina dan pengakuan empat orang saksi lelaki, adil dan merdeka yang melihat perlakuan zina itu.
Peruntukan tentang perbuatan zina yang terdapat dalam Akta atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri kini adalah tidak mengikut Hukum Syarak dan tidak sebagaimana yang telah ditetapkan dalam al-Quran. Bentuk hukuman yang ditakninkan dalam peruntukan ini lebih berupa hukuman takzir. Ini kerana Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 menghadkan bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam, dan untuk kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi 3 tahun atau denda melebihi RM5,000.00 sahaja atau sebatan tidak melebihi 6 kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut. Dengan adanya halangan ini, maka hukuman hudud tidak dapat dilaksanakan di negara ini.
Mengambil contoh Seksyen 23 (1) dan (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan bahawa ‘(1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.’ Manakala sub-seksyen (2) Akta tersebut memperuntukkan hukuman yang sama kepada mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya.
Walaupun hukuman yang terdapat dalam Akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah hanya berbentuk hukuman takzir, maka tidaklah bermakna kita boleh menyatakan bahawa untuk mensabitkan kesalahan zina hanya cukup dengan bukti bayyinah iaitu rakaman video. Ia adalah suatu yang mengelirukan, dan bertentangan dengan ketetapan para ulama’ yang meletakkan standard bukti yang kukuh iaitu pengakuan atau syahadah 4 orang saksi sahaja boleh diterima untuk mensabitkan kesalahan zina.
Saya juga sependapat dengan Dr Juanda, tamatkanlah segera isu video seks ini. Amat memalukan. Seolah-olah kita tinggal di dunia yang tidak bertamaddun dan tiada undang-undang. Tindakan menyebarkan video seks kepada khalayak ramai, kemudian menjadi perbincangan umum, dan membiarkan masyarakat untuk menghukum adalah suatu yang tidak bermoral, rosak akhlak, serta akan merosakkan akhlak baik masyarakat.Negara ini ada undang-undang. Malah ada dua sistem mahkamah di negara ini, Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Jika benar si pelaku dalam rakaman video itu adalah DS Anwar Ibrahim atau sesiapa sahaja, kenapa tidak segera didakwa di mahkamah? Sebagai rakyat yang mendidik akhlak yang baik kepada anak-anak, pasti saya dan pembaca yang lain mahu melihat si pelaku dan juga orang yang mengedarkan video untuk tontotan umum itu dihukum menurut undang-undang negara ini. Agar kami sebagai warga negara ini berasa selamat dan amat bersyukur tinggal di negara yang aman ini.
Menuduh seseorang yang baik lagi suci melakukan zina tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil hukumnya adalah haram,termasuk dalam dosa besar dan boleh dikenakan hukuman had Qazaf (sebat) sebanyak 80 kali sebatan, dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang fasiq. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur ayat 4 yang bermaksud : “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi. Maka sebatlah mereka 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima persaksian mereka itu selama-lamanya keranamereka itu adalah orang yang fasiq”. Walaupun dalam ayat menyebut kesalahan menuduh zina kepada wanita, ijma’ ulama’ bersepakat bahawa tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini.
Jika aduan dibuat secara tertutup menurut saluran yang ditetapkan, ia akan dibicarakan di dalam Mahkamah, dengan mengemukakan bukti-bukti dan saksi-saksi yang boleh membantu dakwaan. Maka maruah tertuduh tidak akan tercemar atau musnah seteruk perbicaraan di media dan di kalangan masyarakat awam. Apabila dibicarakan di mahkamah, maka hukuman qazaf tidak dikenakan kerana maqasid dari hukuman Qazaf adalah untuk membersihkan nama dan maruah tertuduh dari tercalar di mata awam.
Maka, berhati-hatilah dalam membuat tuduhan ke atas seseorang yang lain, terutama tuduhan yang melibatkan hak Allah seperti hudud. Allah memberi peringatan keras sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan (dan lelaki-lelaki) yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang pedih. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.” (Surah An-Nur ayat 23-24).
Ditulis oleh: Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia.


No comments:

Post a Comment