Saturday, 2 April 2011

Negara Hampir Muflis: Pemimpin Dan Kroni Kaya-Raya (Disiarkan Harakah)

Petaka kepada negara dan rakyat bilamana pemimpin yang diberi amanah khianat dan tidak bertanggungjawab mengurus khazanah negara. Rakyat menderita akibat kenaikan harga barangan perlu sedangkan pemimpin dan kroni mereka kaya-raya. Saban hari rakyat terbanyak dihimpit kesempitan yang mencengkam akibat kenaikan kos hidup. Sejak hujung tahun 2010 hingga ke minggu pertama Februari 2011, harga beberapa barangan telah naik; petrol RON95, tepung, gula, gas memasak dan bakal menyusul minyak masak. Harga petrol RON97 yang diapungkan mengikut pasaran dunia telah dinaikkan sebanyak empat kali; RM2.15 satu liter pada 2 November 2010 lalu sekarang RM2.50. Terakhir dinaikkan pada 31 Januari 2011 iaitu sehari selepas Umno-BN menang PRK DUN Tenang.

Dengan senario terkini dan cara pemerintah menangani isu kekurangan barangan di pasaran tidak mustahil harga barangan lain akan dinaikkan! Bayangkan jika November 2010 lalu, harga sekilo gula pasir RM1.60, sekarang RM2.10, kenaikan 31% sangat melampau. Dakwaan kenaikan petrol RON97 yang hanya digunakan kenderaan berkuasa tinggi tidak melibatkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan lain adalah karut. Pergilah ke lapangan, peniaga tetap menghujahkan kenaikan disebabkan naiknya harga minyak petrol, soal yang naik itu RON95 atau RON97 tidak timbul. Inilah realiti yang dialami rakyat marhain di bawah. Apakah pemimpin Umno-BN tahu hakikat ini? Mungkin mereka akan cuba memahami bilamana mereka sudah ditumbangkan sepertimana sedarnya ketua-ketua Kerajaan diktator yang sudah tersungkur; Marcos, Suharto terbaru Zine al-Abidine Ben Ali bekas presiden Tunisia sekadar menyebut beberapa nama.

Jika diambil kira kos-kos lain yang terpaksa ditanggung rakyat seperti perbelanjaan di awal sesi persekolahan 2011 selain peluang pekerjaan terhad, pengangguran, soal perlindungan dan keselamatan, gejala sosial, kadar jenayah yang tinggi dan sebagainya, kehidupan rakyat sebenarnya amat tertekan dan mencengkam. Percayalah jika kerajaan pimpinan Umno-BN ini tidak ditukar dalam PRU13 nanti, tidak mustahil negara tercinta ini akan muflis akhirnya. Lagak pemimpin Umno-BN menguruskan khazanah negara ini seolah-olah harta bapak mereka, hakikat tersebut menjadi kenyataan, sukar ditolak!

Laporan Ketua Audit Negara (AG) yang dikeluarkan pada 25 Oktober 2010 lalu memberi amaran bahawa buat pertama kali dalam sejarah negara, nisbah hutang negara berbanding KDNK telah melepasi paras 50%. Tepatnya, hutang negara tahun 2009 sudah mencecah RM362.39 bilion atau 53.7% berbanding KDNK. AG juga mengesan sejumlah RM28 bilion tiris setiap tahun daripada Perbendaharaan negara. Maknanya, RM28 bilion lesap disebabkan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa! Petaka ekonomi ini berlaku semasa PM Najib Razak menjadi Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

Untuk membuktikan betapa tidak bertanggungjawabnya Kerajaan pimpinan PM Najib dalam menguruskan ekonomi negara, Kerajaan dalam tahun 2010 sahaja telah melancarkan 19 program penjualan bon yang mengakibatkan tambahan hutang negara sebanyak RM58.1 bilion. Pada 14 Disember 2010 lalu, Bank Pusat (Bank Negara Malaysia) mengumumkan bahawa pada tahun 2011 ini Kerajaan akan memasarkan 29 program jualan bon lagi. Seperti dianggarkan Institut Penyelidikan RHB, penjualan tersebut akan menambahkan hutang baru Kerajaan sebanyak RM83 bilion. Jika dijumlahkan semuanya, hutang negara berjumlah RM503.49 bilion. Dengan hutang negara melebihi ½ trilion ini apakah kita mampu tidur lena? Apakah kita sanggup melihat semasa hayat kita ini negara tercinta ini muflis, dan hutangnya terpaksa ditanggung oleh generasi anak dan cucu-cicit kita? Tentu sekali kita tidak inginkan ini terjadi.

Oleh itu, Kerajaan pimpinan Umno-BN ini perlu ditamatkan riwayatnya pada PRU13 nanti. Lihatlah betapa tidak bertanggungjawabnya Kerajaan PM Najib sebaik sahaja menang PRK DUN Tenang pada 31 Januari 2011 harga minyak petrol RON97 dinaikkan 10 sen lagi. Mungkin itulah hadiah kepada mereka yang memberikan undi kepada pemimpin yang tidak berwibawa dan cenderung memperkayakan kroni itu. Mereka sudah hilang rasa manusiawi. Mereka agaknya lebih rela dihalau keluar sepertimana Zine al-Abidine dan Hosni Mubarak yang bakal menyusul. Sesungguhnya mereka ini tidak pernah mahu mengambil iktibar daripada peristiwa tumbangnya regim-regim korup yang sombong, seolah-olah hati mereka sudah dibutakan!


Apabila disanggah tindakan mereka menaikkan harga barangan, mereka mengatakan ia mahu merasionalisasikan subsidi sedangkan hakikatnya mereka memperkayakan kroni. Apa tidaknya, tawaran PR dalam Buku Jingga yang mereka sendiri yakini mampu menarik sokongan rakyat, dianggap lawak oleh pemimpin Umno-BN malah secara sinis menyanggahnya dengan mengatakan negara boleh muflis, jika dilaksanakan. Persoalan kepada rakyat yang celik ialah siapakah yang sebenarnya memufliskan negara ini, mereka atau PR?

Untuk gambaran lebih jelas, fakta-fakta berikut mudah dihadam rakyat bagi memudahkan Umno-BN ditumbangkan di PRU13 akan datang. Oleh kerana mereka tiada wibawa dan mengutamakan kroni, sejumlah RM19 bilion terpaksa dibayar kepada syarikat kroni IPP setiap tahun di bawah subsidi korporat yang ditanggung Petronas. Siapa IPP ini jika bukan syarikat-syarikat korporat kroni seperti Genting, Malakof, YTL dsbnya. Di samping itu, Kerajaan juga terpaksa membayar RM4 bilion setahun kepada pemegang konsesi tol lebuhraya PLUS. Dengan RM28 bilion yang tiris dicampur subsidi korporat yang memperkaya syarikat kroni IPP (RM19b) dan konsesi tol (RM4b), sejumlah RM51 bilion telah dibazirkan secara sia-sia yang sepatutnya boleh dimanafaatkan bagi membantu rakyat.

Tetapi apa yang dijaja mereka ialah Kerajaan telah menampung RM3 bilion subsidi kepada rakyat yang dituntut supaya berterima kasih kepada Umno-BN. Maaf, rakyat sudah celik. Apalah sangat subsidi RM3 bilion yang dicanangkan itu jika dibandingkan subsidi korporat RM19 bilion kepada IPP dan RM4 bilion kepada PLUS.

Pakej Buku Jingga boleh dilaksanakan kerana ia realistic dan praktikal. RM28 bilion yang tiris boleh dikembalikan semula kepada Perbendaharaan dengan syarat sistem semasa dirubah seluruhnya serta mengheret tokoh-tokoh politik dan pegawai-pegawai atasan Kerajaan yang korup dan menyeleweng ke muka pengadilan.

Sistem subsidi korporat yang memperkayakan kroni; IPP dan PLUS melibatkan RM23 bilion boleh distruktur semula. Jika tindakan awal ini diambil PR sebaik mengambil-alih Putrajaya, Kerajaan mampu menyelamatkan RM51 bilion. Seterusnya, tindakan menstruktur semula sistem subsidi bagi membantu mereka yang benar-benar layak dan memerlukan seperti subsidi minyak petrol RM4 bilion, gas memasak RM4 bilion, menstruktur semula sistem tol di bawah PLUS sebanyak RM23 bilion berasaskan harga tawaran pasaran oleh Khazanah dan KWSP dengan tambahan RM8 bilion lagi yang harus ditampung Kerajaan bagi mengambil alih operasi daripada pemegang saham minoriti, rakyat sudah mampu melihat hasil pengorbanan mereka memberikan undi memenangkan PR dalam PRU13.

Kepada strategis PR, pasarkanlah sebaik mungkin produk yang terkandung dalam Buku Jingga itu. Usahakanlah suatu mekanisme terbaik supaya ia sampai dan mudah dihadam rakyat. Hujahkan kebobrokan Kerajaan pimpinan Umno-BN ini dengan bijak serta penuh hikmah supaya gelombang penolakan ini terus kekal sehingga ke PRU13.

Ingat, jika rakyat hanya dibekalkan maklumat dan disantuni semasa adanya PRK atau PRU dalam tempoh kurang 2 minggu sedangkan Umno-BN berkempen sepanjang tahun ke setiap rumah pengundi melalui media elektronik dan cetak yang ditunggangi, sesungguhnya hasrat untuk mengambil-alih Putrajaya hanyalah impian.

Sikap dan pendirian politik pengundi-pengundi di PRK DUN Tenang baru-baru ini sudah boleh dijadikan ukuran dan tentunya mampu menyedarkan kita untuk memuhasabah diri dan seterusnya mengatur strategi bagi menjamin kemenangan. Kepada PR, rakyat sangat berharap, jangan dihampakan! Jika gagal, kita juga sebenarnya punya saham dalam memufliskan negara tercinta ini.   

Ditulis pada:
7 Februari 2011.

No comments:

Post a Comment