Riuh, semua orang bercakap tentang pendedahan Wikileaks, kononnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sah terlibat dan terperangkap liwat. Sebenarnya bukan sahaja DSAI didedahkan tetapi skandal pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu yang didakwa melibatkan PM Najib, dakwaan anggota kabinet Kerajaan Malaysia merogol, hayat politik Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin dan beberapa tokoh politik Asean seperti Thaksin Shinawatra juga didedahkan.
Tahukah kita bahawa laman yang mendedahkan itu adalah merupakan ruang yang memberi kebebasan kepada sesiapa saja untuk menyalurkan sebarang maklumat sulit. Malah memberi pula kebebasan kepada sesiapa jua untuk membuat pindaan terhadap maklumat tersebut. Maknanya status maklumat di Wikileaks itu tidak sahih. Sekalipun, ia hasil kajian, penyelidikan, perbualan atau apa sahaja tanpa pengesahan ia tetap tidak sahih dan tidak boleh dipertanggungjawabkan! Jika itulah status maklumat yang didedahkan di laman Wikileaks itu maka apalah sangat yang perlu dihebohkan!
Lagipun, Wikileaks hanya memaparkan maklumat catatan perbualan diplomat Singapura, komen-komen Lee Kuan Yew dan agensi perisikannya dengan komuniti diplomat Australia yang dikutip Kedutaan Amerika Syarikat yang dipintas. Kemungkinan rangking diplomat Singapura terbabit hanya di peringkat Setiausaha ke-2 atau Setiausaha 1 sahaja tidak dapat dipastikan. Jika itulah status diplomat yang mencatat maka sepatutnya maklumat tersebut dibakulsampahkan sahaja!
Jika diteliti maklumat didedahkan yang dipetik akbar The Sydney Morning Herald itu, terdapat pandangan dan komen yang sangat tidak membantu mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua negara Malaysia dan Singapura.
Tapi apa yang menyedihkan ialah media perdana di negara ini hanya ingin mensensasikan berita membabitkan nama DSAI sahaja. Di tahap ini bertanya saya di manakah nilai kemanusiaan dan insaniah ketua-ketua editor akbar-akbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan seumpamanya. Apakah domir mereka telah mati sifat manusiawinya maka tergamak mereka menggelapkan berita dan menyiarkan berita secara terpilih! Nampaknya penyakit ini sudah membarah dalam sistem negara, bukan sahaja dalam sistem kehakiman dan keadilan, malah hampir semua bidang dan cabang kehidupan tidak terkecuali media.
Tidak insaf lagikah, dengan jumlah edaran akbar mereka sekarang merudum teruk lebih setengah berbanding 350,000 naskhah sehari beberapa tahun duhulu? Pada saya sebenarnya media negara ini sangat tidak beretika khususnya Utusan Malaysia kerana telah tidak berlaku jujur, sengaja menggelapkan berita tentang dakwaan penglibatan PM Najib dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu. Jika benar peka dengan paparan Wikileaks tersebut kenapa tidak didedahkan sama berita dakwaan membabitkan PM Najib, menteri kabinet Kerajaan, Khairy dan lain-lainnya?
Nyatalah bahawa media perdana negara ini sangat berniat jahat. Saya yakin mereka semua berbangsa Melayu dan berugama Islam. Tidak takutkah mereka untuk berdepan dengan Allah Rabbul Jalil di padang mahsyar kelak sedangkan ketika itu tuan-tuan yang mereka dewakan sekarang tidak lagi mampu memberi perlindungan dan menjawab bagi pihaknya!
Jika benar-benar prihatin sepatutnya kenyataan-kenyataan yang sangat tidak bertanghgungjawab daripada diplomat Singapura itu disanggah atau mungkin mencadangkan supaya Wisma Putra memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur memberi penjelasan! Paling tidak menghantar Nota Bantahan.
Sesungguhnya pendedahan Wikileaks ini tidak memberi apa-apa makna kepada pertuduhan liwat DSAI kerana ia semata-mata rekaan sang penguasa dengan kerjasama jahat pasukan penyiasat dan pendakwaan Kerajaan Malaysia. DSAI sudahpun membuat penjelasan dan mencabar pihak-pihak yang membuat tuduhan supaya membuktikannya di mahkamah. Malah DSAI mencabar PM Najib supaya menyaman pihak-pihak yang membuat tuduhan kepadanya bagi mengelakkan kekeliruan dan prasangka negatif kepada pemimpin negara. Pendedahan Wikileaks tersebut sebenarnya mencabar kredibiliti dan integriti pemimpin dan Kerajaan negara ini! Secara berani paling tidaknya Parti KeAdilan Rakyat sudahpun menghantar surat mohon penjelasan kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur sebaik sahaja pendedahan Wikileaks.
Beranikah PM Najib? Telah terbukti, beliau menikus apabila dicabar dakwaan keterlibatannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia dan kes komisyen kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukoi yang membabitkan rakan baiknya Razak Baginda yang dilaporkan di media-media Eropah sedikit masa dahulu. Kenapa PM Najib dan Kerajaan enggan mengambil tindakan saman terhadap semua dakwaan tersebut. Malah Jabatan Peguam Negara menolak kerjasama yang dipohon pihak Jabatan Pendakwa Peranchis untuk menyiasat kes penyelewengan jual beli peralatan militeri oleh syarikat Peranchis dengan Kerajaan Malaysia. Ke mana perginya juak-juak yang hebat menghentam DSAI? Semua mereka menikus dan mematikan diri! Apa maknanya semua itu? Bak kata pepatah Melayu, berani kerana benar, takut kerana salah!
Marilah kita semua meneruskan agenda besar kita untuk sama-sama menukar pemerintah korup dan dayus ini supaya segala kezaliman, penyelewengan dan kebobrokan mereka kita telanjangkan untuk rakyat tahu selepas PRU13 nanti. Jangan kita terperangkap dengan niat jahat mereka untuk merencatkan langkah kita ke Putrajaya dengan pendedahan dongeng ini.
Memandangkan pendedahan ini berniat jahat di mana media perdana negara cuba menconteng wajah hodoh kepada DSAI, saya berpandangan DSAI dalam siri jelajahnya ke seluruh negara jangan lepaskan peluang mengeksploit isu pendedahan yang mendakwa PM Najib terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia itu. Mungkin jika boleh edarkan juga keseluruhan teks pendedahan Wikileaks itu supaya rakyat tahu dan menilai hakikat sebenarnya yang cuba diputarbelitkan media negara yang sudah bankrap ini. Desak PM Najib dan Kerajaan Malaysia yang jika punya wibawa dan maruah supaya menyaman Wikileaks dan Kerajaan Singapura kerana pendedahan tersebut.
Saya yakin jika pendedahan di media Eropah mengenai kes pembunuhan Altantuya yang dikaitkan dengan PM Najib tiada tindakan, jangan harap sekarang kerana jika mereka bersedia melakukannya di saat PRU13 akan diadakan dalam tempoh terdekat ini sebenarnya mereka sedang meletakkan leher mereka di papan pemotong untuk dicincang pengundi dalam PRU13 nanti! Soalnya, beranikah mereka, jika benar-benar tidak terlibat? Ketahuilah yang panas dengan pendedahan Wikileaks ini adalah Najib bukan Anwar.
Ditulis pada:
15 Disember 2010.
No comments:
Post a Comment