Saturday, 2 April 2011

Perlantikan SUK Selangor, PM Najib Sedang Diperhatikan Rakyat (Disiarkan Harakah)

Seminggu dua ini umum sibuk bercakap mengenai perlantikan kontroversi SUK Kerajaan Selangor yang baru, Datuk Mohamed Khusrin Munawi. Umum tahu bahawa Khusrin Munawi penyokong setia Umno pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Tan Sri Muhammad Mohd. Taib semasa Muhammad menjadi Menteri Besar dahulu, mencetus kontroversi lawatan Ahli Parlimen Serdang ke surau al-Huda, Kajang tahun 2010 serta pernah melobi Nazir Masjid Al-Ehsan, Kg. Medan, Petaling Jaya bagi memberi laluan kepada PM Najib mengadakan programnya di situ, sekadar menyebut beberapa contoh.

Apapun hujah, tiada peruntukan SUK mesti diperkenankan Sultan serta mengangkat sumpah dengan Sultan. Konvensyen jelas, calon SUK diangkat namanya oleh MB untuk diperkenankan Sultan dan mengangkat sumpah depan MB. Apa yang berlaku menjadi sejarah, pelik dan sudah menconteng tubuh Umno yang sedia hodoh. Dalam kes ini, pengumuman perlantikan dibuat melalui media oleh KSN, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan. Memandangkan Khusrin sudahpun mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Jumaat 6 Januari 2011lalu, Kerajaan PR Selangor boleh saja memilih sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya atau menunggu sehingga Sidang Tergempar DUN Selangor yang dijadualkan 24 Januari 2011. Sama ada majlis 6 Januari 2011 itu betul atau tidak mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri menjadi perkara kedua.

Persoalan pertama, jika perlantikan Khusrin selaku SUK itu terpaksa diiktiraf seadanya atas sebab-sebab yang sulit diketepikan atas nama istana dan sebagainya maka opsyen lain perlu difikirkan Kerajaan PR Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim. Memandangkan media dan seluruh jentera Kerajaan dikuasai Umno-BN, apapun tindakan Tan Sri Khalid dalam isu perlantikan SUK ini betul sekalipun, tetap dianggap salah dan sebarang penentangan akan ditafsirkan sebagai menentang istana. Persoalan kedua sekarang, apakah mesti SUK hadir dalam semua mesyuarat Exco dan MTES. Jika dimestikan hadir, maka MB boleh saja meminta Timbalan SUK hadir sama dalam semua Mesyuarat Exco dan MTES.

Kerajaan PR Selangor, mungkin sudahpun merujukkan perkara ini kepada KSN Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan SPA, memohon pertimbangan semula calon. Ia sebagai memenuhi syarat sahaja kerana di peringkat ini ia sudah tidak memberi apa-apa kesan kerana yang memberi arahan sebenarnya adalah PM Najib kerana besar kemungkinan ini adalah strategi Najib berikut kejayaannya menumbangkan Kerajaan PR Perak dengan bantuan SUK Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim yang pro-Umno awal tahun 2009 duhulu.

Khusrin yang berumur 54 tahun akan bersara wajib pada usia 58 tahun dalam masa lebih kurang 3 tahun lagi. Dalam struktur pentadbiran Kerajaan negeri, SUK dibantu oleh beberapa Timbalan SUK. Mereka yang merasakan hebat, terlupa bahawa perlantikan Khusrin yang junior di gred Jusa C atas kepentingan politik Umno telah menyebabkan pegawai-pegawai kanan lain yang cemerlang perkhidmatan mereka “demoralized”. Jika Khusrin merasakan dirinya hebat dengan sokongan KSN, PM Najib sebenarnya terlupa bahawa Kerajaan PR Selangor juga ada pilihan untuk mengajarnya.

Antara tindakan yang boleh diambil Kerajaan PR Selangor ialah biarkan saja Khusrin seronok berada di kerusi SUK yang dinobatkan Umno itu. Jangan libatkan langsung beliau dalam semua urusan pentadbiran Kerajaan negari. MB dan semua Exco boleh sahaja terus merujuk kepada Timbalan SUK dalam urusan harian. YB Dato’ Dr. Hassan Mohd. Ali, sebagai bekas pegawai kanan kerajaan pusat mungkin boleh membantu mengajar Khusrin yang sombong itu. Dengan membiarkan Khusrin duduk di kerusi empuknya dari jam 8 pagi hingga 5 petang tanpa diberikan tugasan tentunya akan memberi tekanan psikologi yang hebat kepada dirinya dan sebagai seorang yang bermaruah dan ada harga diri tentu tidak akan dapat menerima keadaan itu. Percayalah selepas beberapa ketika dibiarkan begitu, beliau akan memohon bersara awal.

Eloknya dalam isu perlantikan Khusrin ini jangan diberikan liputan dan respon berlebihan kerana setakat hari ini Khusrin seolah-olah seorang yang tersangat hebat sehingga ada yang mengatakan SUK pernah berperanan menjatuhkan beberapa buah Kerajaan negeri; Terengganu (1999-2004), Kerajaan PR Perak (2009) dan Kelantan pernah bermasalah semasa berSUKkan Datuk Wan Hashim Wan Daud. Saya tidak menafikan kesannya tapi dengan memberi ulasan berlebihan menyebabkan mereka bertambah bongkak!

Kepada Tan Sri Khalid, yakinlah Khusrin tidak sehebat mana. Rakyat Selangor dan negara ini yang celik sedang memerhatikan gelagat mereka yang menjadi dalang melaksanakan kerja jijik yang tidak bertamadun ini. Tindakan memanggil Sidang Tergempar DUN Selangor pada 24 Januari 2011 adalah bijak. Umno terperangkap dan apapun tindakan ADUN Umno nanti pasti menyerlahkan lagi watak dan kerja hodoh mereka untuk disaksikan seluruh rakyat bahawa merekalah pengkhianat institusi beraja kita. Kelompok mereka jugalah yang telah memusnahkan sistem negara ini. Tun Dr. Mahathir yang sudah tua itu pasti menyesali tindakan bodoh badut-badut Umnonya. Sebenarnya Najib sedang diperhatikan rakyat kerana Najib pernah melakukan onar semasa beliau menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak semasa Kerajaan PR Perak ditumbangkan awal tahun 2009. Yakinlah, rakyat akan menghukum mereka di PRU13 nanti.

Kepada Tan Sri KSN, Dato’ Ramli Mahmud, Datuk Muhamad Munir Bani, Setiausaha Sulit Sultan dan mereka yang merelakan diri dijadikan perkakas politik kotor Umno, sedarlah dan insaflah bahawa kamu semua sedang diperhatikan. Ambil iktibarlah daripada sejarah. Kepada Khusrin, selamat menjadi SUK Umno selama mana maruah diri sanggup dicemuh. Ingat, jawatan dan wang ringgit bukan segalanya. Maruah dan harga diri lebih mahal, lainlah jika kamu memilih sebaliknya! 

Ditulis pada:
9 Januari 2011.

No comments:

Post a Comment