Monday 23 May 2011

Kes Liwat II Anwar Ibrahim: Kerajaan Umno-BN Sedang Dihakimi Rakyat!

Pada 16 Mei 2011 lalu tercatat satu sejarah jelek dalam sistem kehakiman dan perundangan negara bilamana Hakim Mohamad Zabidin Mohd. Diah membuat keputusan songsang memanggil tertuduh DS Anwar Ibrahim membela diri pada 6-30 Jun 2011 depan.

Seluruh dunia tahu bahawa pendakwaan cacat dan penuh misteri! Tapi oleh kerana atas kepentingan penguasa, Hakim yang arif jadi dungu dan cenderung memilih neraka sebagai destinasi Akhiratnya.

Terlalu banyak percanggahan fakta dalam kes ini. Saifaul Bukhari Azlan yang mendakwa    DS Anwar meliwatnya pada 28 Jun 2008 tanpa kerelaan, bercanggah pertuduhannya. Laporan pemeriksaan perubatan oleh Dr. Mohamad Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi yang mendapati tiada kesan liwat pada pengadu dinafikan, sampel DNA cacat kerana menyalahi konvensyen perubatan, kehadiran Saiful di kondominium tempat yang didakwa berlakunya liwat gagal dibuktikan, yang ada hanya rakaman CCTV Saiful masuk dan keluar kondo. Pemilik kondo Sdr Hasanuddin dan isterinya Shamsiah serta arwah Dato’ Dr. Zainal Aznam, pengarah MIER yang hadir memberi taklimat ekonomi kepada Anwar gagal dipaksa supaya memihak pendakwaan jelas membuktikan bahawa kes ini sengaja direka semata-mata mahu mematikan karier politik Anwar.

Jika 13 tahun lalu tahun 1998, mantan PM Dr. Mahathir gagal membuktikan Anwar meliwat apabila mahkamah pada 2004 membebaskan Anwar, sepatutnya menginsafkan mereka yang sama-sama berperanan dalam siri liwat ke-2 ini untuk tidak meneruskan kerja jahat mereka. Seseorang yang rasional mampu menilai kes ini dengan jelas bahawa ia semata-mata fitnah dan “desperately done” supaya Pakatan Rakyat (PR) yang dipimpin Anwar gagal dalam misi menyelamatkan negara dari kebobrokan yang terlampau ini.

Sistem sivil negara yang rosak teruk dimulai Dr. Mahathir, sedikit bersinar di zaman Pak Lah tapi kembali kelam bilamana pimpinan negara diterajui PM Najib Tun Razak; politik kita kucar-kacir apabila Kerajaan PR Perak dirampas tahun 2009 dengan menggunakan institusi kehakiman dan istana dengan absahan mahkamah! Demokrasi cacat, agihan ekonomi tempang di mana kekayaan nagara dipunggah oleh golongan yang rapat dengan punca kuasa, sistem sosial pincang dan penuh prejudis.

Tahap salah-guna kuasa dan penyelewengan, rasuah, jenayah menyesakkan nafas rakyat. Agensi dan instrumen Kerajaan; SPR, SPRM, PDRM, JPN, Kemas sebagai contoh ditunggang semahunya demi menjamin survival parti pemerintah. Pendedahan SAC2 Dato’ Mat Zain Ibrahim bekas Pengarah Siasatan Jenayah PDRM mengenai peranan kotor dan jijik Gani Patail dan Musa Hassan bukan rahsia lagi. Malah, tindakan Hakim Mohamad Zabidin memanggil Anwar membela diri mengesahkan lagi sistem kehakiman dan perundangan negara pincang; tindakan pendakwaan Jabatan Peguam Negara dan keputusan hakim-hakim dipertikaikan rakyat.

Saya khuatir, jika kecelaruan ini berterusan suatu hari nanti rakyat sudah tidak lagi yakin kepada institusi ini sekalipun keputusan memihak mereka! Jika sampai ke tahap itu, maka pastilah negara dan pimpinannya hilang wibawa; pelabur akan lari akibatnya ekonomi nagara jatuh merudum dan rakyat menderita. Sedangkan sekarang, ramai pekerja diberhentikan, kadar pengangguran di kalangan siswazah tinggi dengan kadar guna tenaga negara rendah.

Pemerintah sepatutnya fokus kepada perkara-perkara fundamental yang menyangkut kehidupan rakyat bukan kepada perkara-perkara yang tidak produktif begini! Rakyat sangat terbeban sekarang dengan kenaikan harga barangan keperluan yang mengakibatkan kos hidup meningkat dan menghimpit. Terbaru, kenaikan harga gula dan petrol RON97. Bakal menyusul RON95!

Apa yang berlaku di Mahkamah Tinggi Isnin 16 Mei lalu, bukan hanya melibatkan DS Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan, pasukan pendakwa dan pembela sahaja tapi sebenarnya seluruh warga dan sistem negara ini! Betul, bahawa yang dibicarakan DS Anwar, tetapi sedarkah kita bahawa sebenarnya rakyat sedang menghakimi kes ini.

Rata-rata orang ramai yang ditemui kecuali mereka yang buta mata-hati, sudah menetapkan sikap bahawa ia sesuatu penganiayaan. Peguam Negara Gani Patail, Pendakwaraya Yusuf Zainal Abideen dan barisan pendakwaraya sedang dihakimi rakyat. Rakyat kenal siapa mereka; sama ada mereka sendiri tidak bebas atau sengaja memihak, mereka adalah mewakili Kerajaan Umno-BN pimpinan PM Najib Tun Razak. They serve the government of the day! Yakinlah sekiranya selepas pembelaan 6-30 Jun nanti, Anwar didapati bersalah nampaknya itulah kecenderungan Hakim Mohamad Zabidin, maka ketahuilah bahawa rakyat akan membuat penghakiman sebenar dalam PRU13 nanti. Sekalipun pendakwa menang, rakyat berhak menentukan keputusan kes ini di mana Kerajaan Umno-BN akan ditumbangkan dan tersungkur dalam PRU13.

Kerajaan Iran pimpinan Shah Iran Reza Pahlavi yang disokong Amerika, Suharto di Indonesia, Marcos di Filipina terkini Zein Abidin Ali Tunisia, dan Mubarak Mesir, tersungkur hina. Tiada suatu Kerajaan yang zalim dan gagal menunaikan amanah bila bertembung dengan rakyat tegak melainkan semuanya tersungkur!

Kepada Hakim, yang arif kamu harus ingat bahawa 3 daripada 4 orang hakim akan dihumban ke neraka jika gagal menegakkan keadilan. Kepada mereka yang bersama-sama menjadi pemain dalam episod keji dan jijik ini, ingat dan gerunilah peringatan Allah SWT dalam surah az-Zuhruuf ayat ke-36 mafhumnya “sesiapa yang tidak mengindahkan peringatan Al-Quran, Allah akan adakan baginya syaitan sebagai karib yang akan menyesatkannya”, dan ayat 37 mafhum maksudnya “dan syaitan itu tetap menghalanginya dari jalan benar, sedang mereka menyangka mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”. Sesungguhnya, dunia ini bukan milik kita, ada tuan punyanya iaitulah Allah Rabbul Jalil. 

No comments:

Post a Comment