Sunday 15 May 2011

Kenaikan Harga Barangan: Kerajaan Diingatkan Jangan Bodohkan Rakyat (Harakah Post)

Beberapa hari lalu, rakyat Malaysia menerima berita “gembira” kenaikan harga barangan; sekilo gula pasir RM2.30, sementara seliter minyak petrol RON97 RM2.90.
Bagi RON97, ia kenaikan kali ke-tujuh sejak diapung mengikut pasaran semasa. Dalam keadaan harga minyak dunia turun, hujah mengikut apungan pasaran tidak lagi digunakan pemerintah sebaliknya biasalah hujah “berbanding negara jiran harga minyak kita lebih murah”, terus dicanang! Jika Selasa lalu minyak mentah di pasaran Asia jatuh kepada USD101 setong berbanding USD105-USD130 sebelumnya, apakah hujah pengapungan harga itu boleh lagi diterima rakyat? Jika itulah hujah yang dipaksakan, rakyat bukan lagi bodoh!
Bagi gula pasir pula, kenaikan harga dilogikkan boleh membantu rakyat berjimat dan baik untuk kesihatan!
Jika inilah mentaliti Kerajaan menghujahkan rasional disebalik kenaikan harga yang dipaksakan itu, sebenarnya Kerajaan pimpinan Umno-BN silap! Kerajaan diingatkan bahawa rakyat sudah bijak dan mampu mempersoalkan, kenapa rakyat perlu dimangsakan dengan mengurangkan subsidi tetapi kenapa tidak kepada syarikat-syarikat kroni Penjana Tenaga Bebas (IPP).
Terbaru, faktanya Kerajaan menarik subsidi gula berjumlah RM116 juta, tetapi terus mengekalkan peruntukan RM19 bilion setahun kepada IPP; YTL Corporation Berhad, Malakoff Corporation Berhad dan Genting Sanyen, sekadar menyebut beberapa contoh. Persoalannya, kenapa subsidi RM19 bilion setahun kepada IPP tidak ditarik? Apakah Kerajaan sudah tidak mampu meringankan beban rakyat marhain dengan menyerap RM116 juta itu? Rakyat sudah tahu jawapanya iaitu mana mungkin RM19 bilion untuk IPP ditarik kerana ia adalah sebenarnya laba untuk syarikat-syarikat kroni mereka! 
Sedarkah pimpinan negara bahawa kenaikan harga minyak akan mengakibatkan peningkatan kos perkhidmatan dan barangan keperluan harian kepada rakyat terbanyak? Jika keperitan hidup rakyat diabaikan, maknanya pemerintah hari ini sudah hilang rasa kepeduliannya terhadap kesulitan hidup rakyat yang sudah sedia terbeban dengan segala macam kos yang terpaksa ditanggung. Yakinlah, jika beginilah Kerajaan pimpinan Umno-BN melayani rakyat yang memberikan mandat, nyata mereka telah gagal, pasti akan dihukum dan tersungkur dalam PRU13 nanti.
Melalui tinjauan rambang, rakyat yang ditemui berbelanja di gerai, kedai runcit, pasar tani, pasar kering/basah secara terbuka menzahirkan kecewa mereka dan mengecam tindakan Kerajaan menaikkan harga barangan perlu. Sejarah tercatat di mana banyak Kerajaan tumbang kerana gagal mengurus ekonomi negara dengan baik!
Kehidupan rakyat nyata akan lebih terbeban lagi bilamana Kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST). Alasan GST mengimbangi penurunan cukai pendapatan kepada kelompok pembayar cukai pendapatan negara adalah suatu ilusi kerana ia melibatkan 10% penduduk negara yang berpendapatan tinggi. Sedangkan GST meliputi semua jenis barangan dan perkhidmatan dan membabitkan seluruh rakyat termasuk mereka yang tidak bekerja.
Alasan Kerajaan bahawa GST juga dikenakan kepada rakyat di negara-negara lain yang maju seperti Singapura tidak boleh diterima kerana skala penduduk mereka yang berpendapatan tinggi adalah jauh lebih besar berbanding Malaysia.

Jika penetapan gaji minimapun, pemerintah gagal perkenalkannya maka sudah tentulah GST akan menjadi bala kepada rakyat dan jika diteruskan juga maka bala itu pasti akan bertukar menjadi petaka kepada Kerajaan Umno-BN dalam PRU13 nanti!




No comments:

Post a Comment