Monday, 23 May 2011

Lynas: Kerajaan Diingatkan Jangan Perjudikan Rakyat! (Harakah, Bil. 1652)

Tidak serik lagikah kita apabila rakyat terpaksa menanggung risiko kesihatan dan sejumlah besar dana awam terpaksa digunakan untuk membersihkan sisa-sisa radioaktif logi nadir bumi (rare earth) pertama di Bukit Merah, Perak pada tahun 1982 dulu?
Tahukah tidak kita bahawa kerja-kerja membersihkan sisa-sisa radioaktif yang dihasilkan daripada logi berkenaan masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini dan difahamkan sejumlah RM300 juta wang pembayar cukai terpaksa dikorbankan! Kesan risiko kesihatan dan beban kewangan yang merugikan itu seolah-olahnya tidak langsung diambil iktibar maka kita menempah satu lagi petaka di Gebeng, Pahang dengan membenarkan Lynas Corporation Australia (Lynas) melalui anak syarikatnya Lynas (M) Sdn Bhd mengusahakan logi nadir bumi di negara ini!
Ramai penduduk di sekitar Bukit Merah mengalami kecacatan anggota dan sakit leukemia akibat sisa radio-aktif logi berkenaan sekalipun lojinya ditutup tahun 1992
Persoalannya, adakah cadangan projek yang dikemukakan pada tahun 2008 itu, dibincang dan dikaji sehalusnya? Di peringkat ini, rakyat hairan bagaimana mungkin logi yang sangat berisiko ini diluluskan Kerajaan.
Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI) dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (MNRE) yang masing-masing ada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai agensi-agensi bertanggungjawab gagal menasihatkan Kerajaan berhubung projek nadir bumi Gebeng. Begitu juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai “one-stop” agensi yang bertanggungjawab menilai kesesuaian sesuatu projek yang melibatkan dana asing dilihat cuai. Apakah oleh kerana terlalu mengharapkan kemasukan dana asing (FDI) maka cadangan projek yang begini besar risikonya diluluskan begitu sahaja.
Sehingga ke saat ini kerja-kerja di tapak loji masih berjalan! Jika begitu, betullah persepsi umum bahawa koordinasi antara agensi-agensi Kerajaan; MOSTI, MITI dan lain-lainnya sangat lemah dan sekaligus mambawa makna Kerajaan hari ini sangat tidak peka tentang keselamatan rakyat dan sangat tidak bertanggungjawab!
Akibat lemahya koordinasi sesama agensi terbabit, akhirnya Kerajaan Pahang pimpinan MB Adnan Yaacob begitu mudah sekali memberi kelulusan kepada Lynas mendirikan logi nadir bumi di Gabeng, Pahang. Dalam keadaan banyak negara menimbang semula projek-projek berisiko tinggi terbaru trajedi pencemaran radio-aktif logi nuklear di Fukushima kesan badai Tsunami di Jepun Mac 2011 lalu, tindakan Kerajaan membenarkan Lynas membina loji di Gebeng amat mencurigakan. Kenapa Lynas memilih Malaysia dan tidak negara mereka sendiri kerana mereka tahu undang-undang negara kita lompang di samping Kerajaan tidak pro-rakyat!
Mengikut perangkaan, pasaran nadir bumi dunia dikuasai China di mana mereka menguasai sekitar 95% lebih. Lebih mengecewakan kita, projek ini bukan merupakan projek usaha-sama tetapi dimiliki sepenuhnya oleh syarikat Australia itu. Projek ini dijangka mendapat pulangan lumayan kerana nadir bumi yang dijana di logi ini akan dieksport sepenuhnya yang akan memberi pulangan langsung kepada pengusahanya Lynas Corporation Australia sebanyak RM8 bilion setahun! Bayangkan!
Rakyat harus tahu bahawa Lynas mendapat layanan yang cukup istimewa dari Kerajaan; diberikan pengecualian cukai selama 12 tahun serta mendapat status “strategic pioneer”. Negara dapat apa, kecuali sisa radioaktif! Jika itu faktanya kenapa beria-ia sangat pemimpin Kerajaan Umno-BN menginginkan loji nadir bumi Lynas ini didirikan di Gebeng, Pahang, sehingga penduduk Gebeng yang menunjuk perasaan ditahan polis. Bukankah Kerajaan yang diberi mandat sepatutnya menjaga kepentingan rakyat bukan Lynas. Rakyat punya asas untuk curiga.
Kerajaan seharusnya berasa malu jika rakyat bangkit menentang kerana apakah berbaloi 450 peluang pekerjaan yang akan diwujudkan Lynas berbanding risiko yang ditanggung rakyat khususnya penduduk Gebeng? Jika Kerajaan gagal membatalkan projek ini sesungguhnya, ia sangat tidak bertanggungjawab!
Usaha yang digerakkan oleh Kuantan Concerned Citizens Group adalah sesuatu yang murni dan patut disokong seluruh rakyat negara ini, sebelum bencana dan petaka yang perpanjangan menimpa kita dan generasi anak-cucu kita nanti. Mereka prihatin dan punya rasa kepedulian tinggi kepada isu-isu kehidupan sejagat. Kerajaan harus berlapang dada, jangan melihatnya dari sudut politik sempit kerana mereka yang menentang terdiri daripada orang-orang insaf dari kalangan NGO dan aktivis sosial! Jikapun ahli-ahli parti pembangkang terlibat, apa salahnya?

No comments:

Post a Comment