SUNDAY, JANUARY 9, 2011
30 Januari 2011 ini akan berlangsung Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Tenang, Labis, Johor Darul Ta’zim. Jika tiada calon bebas, calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) akan menentang calon BN bagi menentukan wakilnya. Walaupun menyalahi undang-undang pilihanraya, Umno-BN sudah berkempen menyerang PR melalui media elektronik dan cetak. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudahpun mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan kepada mana-mana parti yang berkempen awal sebelum hari penamaan calon 22 Januari 2011 nanti. Awal-awal lagi, agensi-agensi Kerajaan berkaitan sudah dikerah Umno-BN. SPR yang diketahui umum memihak itu membisu dan tidak berani mengambil apa-apa tindakan. Itulah realitinya demokrasi di bumi Malaysia serba boleh ini. Sepertimana lazim, perlawanan kali inipun akan berjalan tempang di padang yang tidak sama rata.
Seramai 14,511 pengundi DUN Tenang mengikut rekod daftar pemilih 2008; 49.59% Melayu, 38.24% Cina dan 12.07% India sedang dipancing Umno-BN supaya terus menyokong mereka. Dengan majoriti 2,492 undi diperolehi calon BN di PRU12 lalu serta “simpanan tetap” pengundi Felda seramai hampir 3,800 orang, Umno-BN sangat bongkak memperlekehkan PR. Dengan senario itu, PR harus gigih dan bijak dalam mengatur strategi. Jika semua jentera PR digembeling secara bersepadu tidak mustahil DUN Tenang akan menjadi milik PR pada 30 Januari 2011. Faktanya ialah calon PR dari PAS di PRU12 lalu berupaya mengurangkan majoriti BN sekitar lebih kurang 1,500 undi. Maknanya, jika strategi kita tepat dan pelaksanaannya diselaraskan secara efektif, calon PR akan menjadi wakil DUN Tenang.
Sebenarnya, terlalu banyak isu yang boleh diolah bagi mengasak Umno-BN. Segala kebobrokan ada pada Umno-BN; kezaliman, penyelewengan, skandal, salah-guna kuasa, rasuah dsbnya, Sebut saja! Instrumen-instrumen penting Kerajaan seperti Badan Kehakiman, SPR, PDRM, SPRM ditunggang semahunya. Buktinya, kes pembunuhan wanita Mongolia, komisyen kapal selam Scorpene, jet pejuang Sukoi sekadar menyebut beberapa contoh diketepikan begitu sahaja. Sistem politik, ekonomi, sosial-budaya, pendidikan negara rosak dan perlu dirobah seluruhnya.
Strategis PR haruslah mengolah isu-isu dengan bijak supaya memberi impak besar kepada pengundi di DUN Tenang. Uruslah isu mengikut keutamaan; pertama, mungkin isu yang bersifat nasional dan sejagat, kedua, yang bersifat tempatan (akar umbi). Isu nasional ini sudahpun dijuarai pimpinan utama PR dengan respon pantas dan ini sukar ditepis Umno-BN sekalipun dibantu media dan jentera Kerajaan. Yang perlu diberi perhatian ialah isu-isu yang dekat dengan denyut nadi rakyat bawahan yang tertekan dengan tindakan-tindakan gelojoh Kerajaan Umno-BN. Di sinilah kelebihan PR, jika maklumat mampu diolah secara cekap dan bijak, Umno-BN pasti tersungkur di DUN Tenang. Bukankah, alaf ini alaf yang menyaksikan ledakan maklumat? Sungguhpun, Umno-BN punya kelebihan dengan dokongan media dan jentera Kerajaan tetapi oleh kerana mereka pihak yang memikul liabiliti, kelebihan sebenarnya berada di pihak PR.
Persoalan pokok yang menyangkut kehidupan rakyat bawahan iaitu isu ekonomi memberi impak langsung kepada rakyat misalnya kos hidup yang kian meningkat dan mencengkam, akibat kenaikan harga barangan keperluan, peluang pekerjaan terhad, pengangguran, kilang ditutup dan sebagainya hendaklah diurus dan diolah supaya mudah dihadam pengundi DUN Tenang. Kenaikan harga gula, minyak petrol RON 95 dan RON 97 dan gas hujung 2010 dan awal 2011, bayaran perlu di permulaan sesi persekolahan 2011 yang semuanya melibatkan tambahan kos benar-benar membebankan. Isu-isu inilah eloknya diolah dan disebarkan tentang betapa tidak bertanggungjawabnya Kerajaan Umno-BN yang telah menaikkan harga atas alasan ingin merasionalisasikan subsidi. Kepada rakyat marhain isu ini lebih hampir kepada mereka dan mampu mencetuskan gelombang kebangkitan. Sejarah telah membuktikan banyak Kerajaan tumbang kerana gagal menguruskan ekonomi negara dengan cekap dan bertanggungjawab.
Hujahkan betapa tidak munasabahnya Kerajaan yang kononnya “rakyat diutamakan” itu mendera rakyatnya sendiri, sedangkan hakikatnya Kerajaan membazirkan sekitar hampir RM39 bilion setahun disebabkan perjanjian berat sebelah memihak syarikat-syarikat kroni konsesi Lebuhraya dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) sebagai contoh. Apalah sangat RM3 bilion subsidi kepada rakyat itu, berbanding subsidi gas sahaja RM19 bilion setahun yang diberikan kepada IPP. Kesan berantai akibat kecuaian Kerajaan menaikkan harga barangan menghimpit hidup rakyat haruslah disebar-luaskan untuk diketahui rakyat bukan sahaja pengundi di DUN Tenang malah ke seluruh negara agar momentum penolakan ini terus kekal sehingga ke PRU13 nanti.
Janji 100 hari PR yang terkandung dalam Buku Jingga haruslah dirakyatkan ke bawah supaya pengundi tahu komitmen PR untuk melakukan perobahan jika diberi mandat ke Putrajaya dalam PRU13 kelak. Pasarkanlah produk berharga dalam Buku Jingga itu sebaik mungkin kerana tawaran PR tidak mampu disaingi Umno-BN kerana agenda PR jelas mahu mendaulatkan rakyat sedangkan Umno-BN memihak kroni. Warwarkan kejayaan dan keupayaan Kerajaan di negeri-negeri yang diperintah PR dalam menguruskan khazanah negeri tanpa rasuah dan salah-guna kuasa. Biar pengundi DUN Tenang tahu dan sedar supaya berfikir dua kali jika mahu memberi undi lagi kepada calon BN pada 30 Januari kelak. Felda dengan pengerusi barunya yang tercalar peribadinya itu serta segala macam kepincangan yang dikesan ANAK memberi kelebihan kepada PR untuk mendekati 3,800 pengundi “setia” itu. Fikirkanlah mekanisma terbaik supaya maklumat-maklumat berhubung kebobrokan dan karakusan Kerajaan pimpinan Umno-BN itu sampai kepada kelompok sasaran. Gunakan segenap peluang dan ruang untuk mendekati pengundi secara hikmah.
Dengan kepakaran dan pengalaman strategis PR yang teruji itu, saya yakin mampu memenangkan calon PR di PRK DUN Tenang 30 Januari 2011. Sesungguhnya, keputusan PRK Dun Tenang adalah isyarat sebenar sama ada PM Najib benar-benar akan mengadakan PRU13 tahun ini atau tidak. Sebenarnya, bukan sahaja Najib bimbang, PR juga khuathir jika keputusan tidak menyebelahinya.
No comments:
Post a Comment