Rakyat Melayu Islam jangan terus membuta tuli menyokong kerajaan yang sengaja menakut-nakutkan mereka dengan propaganda ‘tanpa Umno, mereka hilang tempat bernaung’.
Banyak penulisan kebelakangan ini daripada pemikir Melayu Islam yang meluahkan kebimbangan terhadap kekuasaan orang Melayu Islam – seolah-olah melihat dengan jatuhnya kerajaan Umno Barisan Nasional (BN), maka kekuasaan orang Melayu juga akan turut hilang.
Kewujudan Pakatan Rakyat (PR) dilihat akan melemahkan kekuasaan orang Melayu dan juga akan menghakiskan kekuatan Islam di negara ini. Sejak negara ini merdeka, Umno adalah tunjang kekuasaan BN dan Umnolah yang diharapkan memelihara maruah Islam dan kaum Melayu. Selama 54 tahun nasib Melayu dan Islam terbela, dan kalaulah Umno tewas maka orang Melayu akan hancur dan semakin lemah.
Itulah pemikiran yang hendak diterapkan di kalangan rakyat, agar umat Islam dan kaum Melayu akan sentiasa was-was dan ketakutan untuk kehilangan Umno. Namun, apa yang penting ialah adakah pemikiran ini bertolak kepada fakta dan realiti sebenar atau hanya satu luahan rasa tanpa berpijak kepada fakta yang nyata?
Hujah di atas sekali imbas, atas permukaan ada terasa seperti benar namun beberapa hujah /persoalan berikut perlu dijawap seiklasnya oleh umat Melayu Islam sebelum membuat kesimpulan.
Kalau betul Umno pentingkan kekuasaan Melayu Islam, kenapa tiada tambahan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah – sehinggakan ada kawasan parlimen yang jumlah pemgundinya mencecah hampir seratus ribu orang.
Kenapa tambahan kerusi banyak pula dilakukan di Sarawak dan Sabah?
Umno dah tewas lebih 20 tahun di Kelantan, apakah kuasa Melayu dan Islam hilang di Kelantan? Bahkan Islam bertambah megah di Kelantan dengan pelaksanaan pentadbiran sifar rasuah, dan terus memperjuangkan perlaksanaaan undang-undang Islam di sana.
Kalaulah benar Umno ikhlas untuk menjaga Melayu dan Islam, kenapa royalti minyak Kelantan tidak dibayar sehingga kini walaupun ada perjanjian jelas yang mewajibkan Petronas melalui kerajaan pusat membayar royalti tersebut. Apakah orang Kelantan yang memilih PAS dan penyokong Umno di Kelantan yang majoritinya Melayu Islam, bukan Melayu Islam sebenar pada kaca mata Umno sehingga pelbagai penindasan dilakukan sejak tahun 1990?
Kenapa Umno sanggup serahkan beberapa kerusi parlimen yang dahulunya ditandingi oleh Umno kepada parti lain seperti yang berlaku di Kuala Selangor, Kuantan, Raub, Port Dikson dan puluhan kerusi yang lain. Bukan ke ini Umno sendiri yang melakukan pengkhianatan kepada Melayu?
Siapakah yang membuang tulisan Jawi dari sistem pendidikan kalau bukan kerajaan Umno dan menteri yang mencadangkannya pun dari Umno?
Siapa yang meluluskan pelbagai jenis loteri dan judi halal untuk berakar umbi di negara ini kalau bukan pemimpin Umno?
Apakah hanya Melayu Umno (yang pandai mengampu sahaja, yang mengkritik tak termasuk) dianggap sebagai Melayu Islam, sedangkan kalau Melayu dari PAS, PKR dan DAP mereka ini bukan Melayu Islam?
Kebimbangan hilangnya kekuasaan orang Melayu dilihat tertunjang dengan kekuasaan Umno – seolah-olah tiada parti lain dalam Malaysia yang akan memelihara kuasa Melayu dan agama Islam.
Namun hakikatnya, dalam soal membela Melayu, Umno selama ini tidak mampu menaikkan martabat dan sosio-ekonomi mereka dengan ketara walaupun sudah 54 tahun memerintah negara. Begitu juga, dalam soal membela Islam, berapa kali Umno melacurkan Islam dan menggunakan Islam hanya apabila keadaan perlu untuk memelihara kepentingan politik semata-mata?.
Rata-rata rakyat yang celik terutama golongan muda menyifatkan parti komponen BN masih mengamalkan pemikiran sempit dari era sebelum merdeka.
Pemikiran sedemikian diyakini akan bakal berakhir dengan kemunculan gabungan politik berbentuk majmuk seperti PAS-PKR-DAP, di mana ketiga-tiga parti ini boleh menerima semua bangsa sebagai ahli mereka tidak seperti gabungan Umno-MCA-MIC.
Kini, rakyat negara dilihat sudah bersedia berhadapan dengan era baru yang lebih terbuka. Harus diingat hakikat bahawa kaum dan bangsa seseorang bukanlah pilihan seseorang manusia – ianya ketentuan Allah.
Islam melihat kemuliaan bukan kepada bangsa dan warna kulit tetapi pada ketaqwaannya. Apakah yang rakyat Melayu Islam nak banggakan jika rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa berleluasa dalam negara diketuai oleh sebuah kerajaan yang majoriti ahlinya mendabik dada sebagai pembela orang Melayu dan Islam?
Rakyat Melayu Islam yang celik mesti melakukan perubahan besar untuk melahirkan umat Islam yang kuat akidahnya dalam berpegang kepada ajaran Islam.
Mereka perlu segera menyelaraskan tindakan mereka dengan ajaran Islam dan menterjemahkan sifat sebenar Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam, tanpa mengira apakah mereka Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Janganlah mereka terus mempertahankan kerajaan korup, rasuah dan pelbagai penyelewengan dengan berselindung semata-mata atas nama mempertahankan Melayu dan Islam. Ini bukan sahaja memalukan umat Melayu Islam malah mencemarkan agama Allah kerana penganutnya bersifat sebegitu rupa.
No comments:
Post a Comment