Friday 23 December 2011

Adam Adli: Apa Dosanya Sehingga Diancam Bunuh?

Pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli, hari ini hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, di sini, bagi memberikan keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Tun H.S Lee, Isnin lalu.

Kehadiran beliau ke ibu pejabat polis itu ditemani peguam Fadiah Nadwa, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Abd Razab dan pemimpin Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas).

Beliau hadir ke IPD Dang Wangi sekitar jam 11.00 pagi dan memberikan keterangan kepada ASP Anan selama sejam berkaitan laporan polis yang dibuatnya berhubung ancaman bunuh terhadap beliau oleh pihak tertentu.

Ancaman tersebut diterima ekoran tindakannya menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama kurang lima minit di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Disember lalu.

Tindakan beliau telah menimbulkan kecaman hebat daripada pihak-pihak tertentu sehingga membawa kepada ancaman bunuh daripada pihak-pihak terbabit terutama terhadap beliau dan beberapa orang rakannya yang lain.

Bercakap pada sidang media selepas memberikan keterangan kepada pihak polis di IPD Dang Wangi hari ini, beliau berkata, ancaman tersebut merupakan sesuatu yang amat serius terhadap beliau dan perlu diambil tindakan sewajarnya oleh pihak polis.

Menyedari perkara itulah, beliau telah mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Tun H.S. Lee Isnin lalu terutama bagi menjaga keselamatan dirinya.

"Tindakan menurunkan bendera itu saya lakukan dalam keadaan sedar dan didasari dengan mesej yang jelas untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang perlu dihayati dengan sewajarnya oleh pelbagai pihak termasuk pihak yang mengancam untuk membunuh saya itu," katanya.

Tambahan pula, tegasnya, tindakan itu hanya dilakukan dalam tempoh masa kurang lima minit sahaja oleh beliau dan kemudiannya dinaikkan kembali dengan baik juga oleh beliau sendiri tanpa melakukan sebarang kerosakan terhadap bendera itu.

"Tetapi saya amat kesal dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas dan fitnah daripada pihak-pihak tertentu termasuk laporan akhbar Utusan Malaysia yang mengatakan saya memijak, mengoyak dan merosakkan bendera itu," tambahnya.

Lebih dikesali oleh beliau apabila tindakan yang dilakukan oleh beliau itu disusuli pula dengan ancaman bunuh terhadap beliau yang jelas merupakan satu jenayah.

Beliau menegaskan, tindakan menurunkan bendera Perdana Menteri itu dilakukan oleh beliau sebagai gambaran protes para mahasiswa di negara ini terhadap kongkongan Kerajaan BN berhubung kebebasan akademik di tanah air.

Walaupun telah diberikan pelbagai pandangan dan desakan oleh para mahasiswa dan pihak-pihak lain agar dilepaskan para mahasiswa dan ahli-ahli akademik di negara ini dari kongkongan itu, tetapi ia tetap tidak dipedulikan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan BN sejak beberapa tahun lalu.

"Pada hal kongkongan seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Malah suara mahasiswa juga perlu didengar oleh pihak kerajaan kerana ia juga amat bermanfaat bagi pembangunan serta kepentingan negara," tegasnya.

Sementara itu, peguam Fadiah Nadwa pada sidang media itu juga berkata, beliau amat kesal dengan ancaman bunuh yang diterima oleh Adam kerana ia jelas merupakan sesuatu yang amat serius dan satu jenayah.

"Tidak sepatutnya Adam menerima ancaman seperti itu kerana ia bukan sekadar memperlihatkan sikap keterlaluan pihak terbabit, tetapi Adam sendiri pun tidak terlibat dengan sebarang jenayah," tegasnya.
Aziz Muda, Harakah Daily

No comments:

Post a Comment