Monday 28 November 2011

Tian Chua Yang Kental.........

“Perjalanan yang kita ambil dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka hanya mengambil masa 15 minit, dan kita sampai ke Dataran Merdeka untuk mengisytiharkan satu proklamasi untuk berjuang. Dan ramai di kalangan kita telah berjalan bukan 15 minit, tetapi 13 tahun sampai hari ini.”

Demikianlah kata-kata Naib Presiden PKR Tian Chua, mengimbau nostalgia kelahiran parti KEADILAN dalam gerakan Reformasi, yang bermula pada September 1998. Tian Chua berkata, ramai yang tidak kenal secara peribadi Anwar Ibrahim, tidak lebih sebagai seorang Timbalan Perdana Menteri Barisan Nasional yang dipecat dari kerajaan, 13 tahun lalu. “Beliau tidak tinggalkan pesan tentang rancangan bagaimana kita tawan kerusi-kerusi. Tidak ada mesej tentang bagaimana kita harus berjuang. Rakyat yang mengatur sendiri. Aktivis-aktivis dari bawah yang memberanikan diri untuk berdepan dengan penindasan. (Ramai antara mereka) …yang mengorbankan pekerjaan, bahkan keluarga dan segala-galanya untuk mencapai kejayaan.” 

Kata-katanya disambut dengan tepukan gemuruh, dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Pulai Springs Resort, petang tadi. Tian Chua sempat mengaitkan gerakan reformasi dengan senario politik di dunia, menyaksikan bagaimana Revolusi Jasmin yang berlaku di Timur Tengah sehingga membawa kepada Arab Spring.

“Rakyat bangkit, yang 99% tuntut hak keadilan dari 1%,” katanya dengan tegas, malah beliau yakin “sejarah telah mentakdirkan gerakan rakyat ini akhirnya akan menang.”

Mendengar dari akar umbi

Mengambil iktibar dari Barisan Nasional, Tian Chua menggesa agar pemimpin mendengar kepada rintihan rakyat, dan bukannya pakar-pakar dari syarikat perhubungan awam seperti APCO sekiranya berkuasa. “Kita nak selesaikan masalah transport, tanya pemandu teksi; kalau kita nak selesaikan isu penternakan lembu, tanyalah penternak lembu; kalau kita nak selesaikan masalah beras, tanyalah petani-petani! Kita harus sentiasa pastikan, parti ini harus sentiasa ada proses mendengar dari akar umbi!”

Source: Merdeka Review

No comments:

Post a Comment