Friday 15 July 2011

Bersih2.0: Pemerintah Umno-BN Pasti Tersungkur Di PRU13!

Acara Walk for Democracy (WFD) yang berlangsung pada petang ini Sabtu, 9 Julai 2100 di Kuala Lumpur dan berjalan serentak di 30 negara bagi menyerahkan memorandum kepada DYD Agung anjuran Bersih2.0 mencatat sejarah. Rakyat yang celik dan sedar turun bersama pimpinan Bersih2.0 dan PR tanpa gentar dengan amaran dan ugutan. Dianggarkan 50,000 orang pelbagai kaum menyertainya, sesuatu yang amat luar biasa dan mencatat sejarah kerana penyertaannya merentasi batas kaum dan agama!

Sebelumnya, pejabat Sekretariat Bersih2.0 di Petaling Jaya digeledah, peralatan dirampas, kakitangannya disiasat selain 200 orang lagi ditangkap di seluruh negara atas berbagai kesalahan yang tidak masuk akal. Cadangan asal WFD ialah berhimpun di beberapa lokasi tertentu di ibunegara sebelum bergerak ke istana bagi menyerahkan memorandum kepada DYD Agung. Masa diambil cuma beberapa jam sahaja iaitu mulai jam 2-4 petang. Ia dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan, artikel 10. Malah, pengerusi Suhakam sendiri Tan Sri Hasmy Agam membuat kenyataan bahawa perhimpunan wajar diteruskan atas alasan dibenarkan Perlembagaan Persekutuan. Selain jaminan berkali-kali pimpinan Bersih2.0 bahawa WFD akan berlangsung secara aman, sopan dan berdisiplin.

Bersih badan gabungan 62 NGO yang mewakili masyarakat sivil pimpinan Dato’ Ambiga, mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia menuntut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Kerajaan mengadakan pilihanraya bebas dan adil meliputi 8 perkara; bersihkan daftar pemilih, reformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan akhirnya hentikan politik kotor. Semua tuntutan adalah fundamental dalam negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia. Tiada satupun daripada 8 tuntutan tersebut memihak sama ada kepada pemerintah mahupun pembangkang. Jika pemerintah amanah dengan rakyat yang menjadi stakeholdernya, tuntutan tersebut amat munasabah dan perlu dilaksanakan demi menjaga legitimacy pemerintah. Pemerintah sebenarnya tiada hujah untuk tidak melayani tuntutan, kerana Bersih2.0 punya bukti serta ketempangan disahkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan SPR sendiri.

Semua partai gabungan PR turut serta, peliknya Bersih2.0 dikecam BN, kononnya ia pertubuhan haram, diresapi anasir/agen asing, ditunggangi pembangkang, komunis, pengkhianat dsbnya. Ironisnya, Pemuda Umno juga  berhimpun tapi menentang Bersih2.0. Tindakan bodoh mereka itu sekaligus mengesahkan berlakunya penyelewengan dalam perjalanan pilihanraya selama ini! Kenapa tentang, jika tidak mahu menyembunyikan tembelang! Beberapa hari sebelumnya, pemimpin-peminpin Kerajaan, NGO pengampu, Pengerusi SPR, Timbalan IGP dengan angkuh mengecam Bersih2.0 serta menutup pintu rundingan dan memberi amaran keras kepada sesiapa yang turut serta perhimpunan.

Media perdana; elektronik dan cetak diguna semahunya mengasak benak rakyat dengan menghodohkan Bersih2.0 serta mereka yang menyokongnya dianggap penderhaka. Malah, tergamak mengatakan DYD Agung tersilap kerana menjemput dan bertemu pimpinan Bersih2.0 yang mereka dakwa pertubuhan haram. Sehinggakan stesen radio yang mengedalikan program bersama pungguna digunakan memperlekehkan Bersih2.0. Beberapa hari sebelum itu, ATM dan PDRM mengadakan latihan mencegah rusuhan, siap dengan kain rentang tertera “jika enggan bersurai kamu akan ditembak”. Seolah-olahnya akan berlaku sesuatu yang tragis di KL pada 9 Julai 2011. Rakyat yang celik tentu dapat mencongak muslihat mereka! Pihak berkuasa sepatutnya membantu melancarkan acara WFD bukan menyulitkan dengan mendalihkan dengan berbagai-bagai helah dan alasan!

Ketegangan yang dicipta pemerintah dan penguasa reda seketika bilamana DYD Agung membuat kenyataan khas dan menjemput pimpinan Bersih2.0 ke istana. Dato’ Ambiga, SN Pak Samad Said dan Zaid Ibrahim atas nasihat Agung dan cadangan PM Najib, bersetuju ke stadium sebagai ganti rancangan asal, malangnya dikhianati PM Najib dan Hishamuddin dengan memperalatkan PDRM. Stadium yang dijanjikan dinafikan hak menggunakannya atas alasan keselamatan. Sebaliknya, pihak polis mengeluarkan kenyataan menemui molotof koktil, senjata seperti parang dan pisau serta akan berlaku huru-hara. What a shame!. Permit dinafikan, tekanan berupa intimidasi diperhebatkan lagi dengan tangkapan dsbnya. Kemuncaknya, mahkamah digunakan untuk menafikan 91 orang memasuki KL pada 9 Julai 2011 mulai 8 pg-6 ptg, di mana jika ingkar ditahan. Jalan-jalan tertentu di KL ditutup/dilencongkan, permit bas dibekukan, selain sekatan jalan di beberapa laluan utama ke ibukota. Pengumuman demi pengumuman dibuat bagi menekan Bersih2.0 supaya membatalkan perhimpunan.

Sungguh memalukan apabila panelis dari sebuah persatuan pengguna di program bersama pengguna kendalian sebuah stesen radio mengatakan jika diteruskan perhimpunan peniagaan terjejas, peniaga kerugian, pelancung tidak datang, pelabur lari, pendapatan pemandu teksi terjejas dsbnya! Mereka bercakap tanpa fakta, berhujah pada tahap kecerdikan yang rendah, semata-mata mahu menjadi perkakas, itu saja. Bagi rakyat, negara boleh muflis jika diurus secara tidak bertanggungjawab, khazanah negara difarait sesama kroni, korup, salah-guna kuasa dan menyeleweng. Rujuklah Laporan Ketua Audit Negara 2009 dan laporan Laporan Transparency International, sebagai contoh. Belum ada kes negara muflis disebabkan perhimpunan yang memakan masa beberapa jam. Lihat Korea Selatan, Jepun, negara-negara di Eropah dan Amerika Utara yang rakyat bebas menyatakan kritikan terbuka, ekonomi mereka terus ke hadapan. Alasan lapuk!

Suasana di KL pada pagi 9 Julai 2011 laksana zon perang. Aktiviti kota seakan lumpuh, lengang. Polis kelihatan di mana-mana! Pengangkutan awam; bus, teksi dan keretapi Putra dan Star tidak dibenarkan berhenti di stesen-stesen tertentu. Rakyat yang berurusan di KL pagi ini harus diperiksa barangan mereka sama ada mereka memiliki kemeja-T kuning serta lain-lain apparel yang ada kaitan dengan program WFD. Menjelang tengahari KL sudah diributkan oleh peserta Bersih2.0 yang bijak menyusup masuk ke ibukota sekalipun sekatan dan ancaman pihak berkuasa. Di Hilton KL Sentral pimpinan Bersih2.0 dan PR mengadakan sidang media memaklumkan bahawa himpunan yang diadakan adalah aman dan sopan serta tidak menyalahi undang-undang negara. Malah dipantau oleh SUHAKAM dan beberapa badan bebas.

Cukup menyedihkan apabila perarakan yang diketuai pimpinan Bersih2.0 dan PR diserang pihak berkuasa  dengan tembakan gas pemedih mata di laluan bawah tanah KL Sentral yang sengaja dihalakan menyebabkan pengawal peribadi dan DS Anwar Ibrahim cedera dan terpaksa dirawat di hospital, YB Khalid Samad cedera di kepala akibat tembakan terpaksa menerima 6 jahitan, Sdr Muhammd Sabu cedera lutut akibat ditendang polis peronda dari motosikal yang ditumpanginya. Cara tangkapan dibuat ke atas peserta perhimpunan cukup mengerikan seolah-oleh mahu mencederakan dan sangat tidak bertamadun. Terlalu ramai yang cedera di sekitar Puduraya, Masjid Jamek, KLCC, Jalan Ampang, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Hang Tuah, Jalan Pudu dan Pasar Seni akibat dikasari polis terutama FRU dan cawangan khas, sama ada ditendang, disepak, dipukul dsbnya. Peserta perempuan dikasari malah ditolak keras sehingga terjatuh. Setakat jam 5 petang, seramai 1,400 orang lebih ditangkap termasuk pengerusi Bersih2.0 Dato’ Ambiga, presiden PAS TG Hadi Awang selain beberapa orang pemimpin kanan PAS, PKR dan DAP.  

Semua kekejaman dan keganasan pasukan keselamatan yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat dirakam dan didokumenkan. Bukti ini sukar dinafikan pemerintah yang mengarahkan kekejaman dan keganasan tersebut dilakukan ke atas rakyat yang berhimpun secara aman dan dibenarkan negara! Cara rakyat dikasari cukup menyayat hati. Sehinggakan masjid ditutup dan tidak dibenarkan solat di dalamnya. Rakyat yang menuntut sesuatu yang dibenarkan undang-undang dilayani seperti binatang!

Sesungguhnya, Kerajaan Umno-BN pimpinan Najib tersilap kerana mengambil langkah keras berkonfrantasi dengan rakyat. Ketahuilah bahawa belum ada dalam sejarah bilamana pemerintah bertembung dengan rakyat memihak pemerintah melainkan semuanya tersungkur hina. Apakah Umno-BN tidak mengambil iktibar daripada kejatuhan pemerintah-pemerintah zalim dan bobrok, terbaru Zain-abidin Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir? Selalunya pemerintah zalim suka mengambil tindakan bodoh dan bebal! Menyaksikan kebebalan dan keganasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa kepada peserta himpunan petang 9 Julai 2011, meyakinkan lagi saya bahawa sebenarnya hayat Kerajaan Umno-BN hanya setakat PRU13. Rakyat sebenarnya sudah bertekad dan muak! 

No comments:

Post a Comment