Saturday 2 April 2011

Masjid Sebagai Wahana Transformasi Ummah (Disiarkan Harakah)

Institusi masjid merupakan suatu tempat yang sangat dimuliakan Allah dan disebut dalam Al-Quran dan hadith Nabi junjungan besar kita. Betapa besarnya ganjaran yang dijanjikan Allah. Begitu jugalah besarnya kemurkaan Allah bagi mereka yang melakukan sebaliknya. Menjadi tanggungjawab seluruh umat menjaganya dan perlu mengamarahkannya dengan sesuatu yang boleh memanifestasikan kesejagatan dan betapa kontemporarinya Islam itu sebagai suatu Addeen sehingga ke hari kiamat!

Semasa regim Umno-BN menguasai pentadbiran Kerajaan negeri, institusi masjid, surau, musolla dan apa jua bentuknya telah dihadkan fungsi dan peranannya dan institusi ini hanya digunakan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang menyangkut soal-soal peribadatan khusus sahaja. Seolah-olah itulah sahaja fungsinya dari sudut Islam sedangkan ianya menuntut suatu pengertian yang lebih luas sebagaimana telah dicontohkan nabi junjungan besar kita Muhammad saw semasa beliau mentadbir Negara Islam Madinah yang kemudian diteruskan oleh khalifah-khalifah di zaman Khalifah Ar-Rasyidin dan pemerintah-pemerintah Islam seterusnya.

Syukur Alhamdulillah, selepas gelombong tsumani politik tahun 2008 yang menyaksikan tumbangnya beberapa negeri yang diperintah Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR), fungsi institusi penting ini dikembalikan semula. Kuliah-kuliah pengajian dan lain-lain aktiviti sudah berjalan. Syabas kepada mereka yang telah dipilih dan dilantik menerajui institusi ini semoga kegemilangannya akan dikembali dan diteruskan.

Sebagai contoh, di Selangor dengan peranan Exco Kanan Kerajaan negerinya Dato’ Dr. Hassan Mohd. Ali, telah menggagaskan supaya institusi ini dijadikan sebagai wahana transformasi ummah suatu tag-line yang sinonim dengan tokoh ini.

Tanpa mahu menafikan bertambahnya program ilmu, impaknya tidak seberapa. Transformasi bukan hanya dengan semata-mata banyaknya kuliah pengajian dan meriahnya Ramadhan kerana banyak lagi aspek lain yang perlu diberi perhatian yang boleh membantu menjadikan institusi ini lebih perkasa menepati fungsinya sekaligus mampu merobah ummah!

Program-program remaja, keibubapaan dan kemasyarakatan bagaimana? Secara ikhlas tanyalah mana-mana masjid berapa banyak program seumpamanya telah dijalankan sepanjang tahun 2010 lalu. Untuk tahun 2011, bagaimana perancangannya sudahkah dijadualkan? Berbanding kuliah pengajian, ia terlalu sedikit sedangkan kelompok remaja inilah yang paling kritikal serta perlu diberi perhatian. Jawablah secara jujur, bagi setiap solat fardhu berapa saf jemaah bersolat di masjid? Jika dahulu 1½ saf bagi sebuah masjid jame’, sekarangpun selepas hampir 3 tahun PR memerintah, kehadiran jamaah di masjid tidak banyak bezanya. Jika ini ukurannya, maknanya pentadbir masjid gagal. Sepatutnya dengan banyaknya program ilmu semakin ramai anak-anak kariah ke masjid! Ini tentu ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin pendekatan perlu diperbaiki.

Apa yang dikesalkan ialah sikap beberapa orang Nazir dan AJK masjid yang tidak mesra jemaah, selain muslimat kurang berhikmah dalam tindakan yang seolah-oleh membalas dendam adalah sesuatu yang dikesalkan.

Jika masjid boleh menjadi penyatu kepada kepelbagaian yang terdapat di kalangan anak-anak kariah kenapa tidak kita gunakan sebaiknya supaya institusi ini juga mampu menyumbang bagi memenangkan PR dalam PRU13. Rata-rata mereka yang menerajui masjid terdiri daripada orang-orang dari parti kerabat PR, sikap mereka ini nampaknya sangat memudaratkan dan perlu diperbaiki. Exco-Exco Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap portfolio ini haruslah peka dan melakukan sesuatu.

Sempena Hijrah 1432 dan Tahun baru 2011 yang baru berlalu dan akan menyusul pula Sambutan Maulidur Rasul beberapa hari lagi, ambillah pendekatan nabi junjungan besar kita Muhammad saw yang sebaik tiba di Madinah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Pujuklah saudara kita yang berlainan fahaman politik untuk sama-sama rukuk dan sujud di rumah Allah yang mana kita diamanahkan sebagai pentadbirnya itu! Raikanlah perbezaan dan kepelbagaian yang fitrah sifatnya itu. Yakinlah jika ia dilakukan dengan ikhlas dan penuh kasih sayang, insyaAllah mereka akan terbuka hati untuk bersama kita. Sebagaimana yang selalu diungkapkan TG Datuk Nik Aziz Nik Mat, sesungguhnya kita semua bersaudara.

Masih ingat lagikah kita, apa yang terjadi dalam PRK Parlimen Hulu Selangor tahun lalu, di mana salah satu DUNnya termasuk dalam Parlimen Hulu Selangor yang pernah ditandingi calon parti kerabat PR iaitu PAS gagal mendapat tambahan undi, sedangkan kita menguasai negeri, masjid dan surau malah ada infrastruktur. Kelebihan gagal dimanafaatkan, kenapa? Tentulah pendekatan kita kurang bijak. Kuliahnya mungkin berapi-api, kadang-kadang berjela, tidak fokus, terlalu retorik akhirnya jemaah bosan. Gagal memberi kesedaran dan bila tiba PRK Parlimen Hulu Selangor undi mereka tetap kepada calon BN Sdr Kamalanathan.

Dari pengamatan yang mungkin dianggap remeh ini, marilah kita sama-sama memperbaiki kelemahan. Sesungguhnya, jika jangkaan PRU13 Setember tahun ini tepat maka kita sebenarnya kesuntukan masa. Apa tidaknya, beberapa bulan berbaki sangat singkat! Strategis Umno-BN sangat pandai memanipulasi keadaan dan sebarang kesilapan boleh mengundang petaka kepada PR. Umno-BN sebenarnya sangat terdesak, apakah kita tidak? Sedar atau tidak kita, jika kita gagal kali ini, mungkin kita tidak akan ada peluang sebaik ini untuk melakukannya lagi. Rakyat berharap, jangan hampakan!

Ditulis pada:
9 Januari 2011.

No comments:

Post a Comment